KOTA BHARU, 13 April- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka kaunter khas selama empat hari sehingga 6 April lalu bagi memudahkan mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Selangor mendapatkan semula dokumen yang musnah.
Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata seramai 221 penduduk terjejas telah mendaftar untuk mendapatkan khidmat yang ditawarkan secara percuma itu.
Aedy berkata mangsa yang belum berkesempatan berbuat demikian masih boleh mendapatkan penggantian dokumen di mana-mana pejabat JPJ berhampiran.
"Mereka hanya perlu hadir ke mana-mana JPJ terdekat dan kita akan berikan penggantian dokumen secara percuma tanpa memerlukan laporan polis. Cukup sekadar mengemukakan maklumat nama, nombor kad pengenalan dan alamat dan pihak JPJ akan membuat pengesahan sebelum menyerahkan dokumen gantian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri JPJ Kelantan di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JPJ Negeri, Mohd Misuari Abdullah.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kebanyakan permohonan melibatkan penggantian Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan operasi sempena perayaan Aidilfitri yang dilaksanakan dari 24 Mac hingga 8 April lalu berjaya mengurangkan kemalangan maut di jalan raya.
Katanya, JPJ akan terus menambah baik langkah dan tindakan pencegahan bagi memastikan operasi akan datang lebih berkesan.