fb fb fb fb fb

Laporan awal: Pesawat TLDM dalam keadaan 'safe to fly'

Foto FB KPKT Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Laporan akhir berhubung insiden helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas baru-baru ini dijangka siap pada 29 Mei.

Menerusi kenyataan, TLDM memaklumkan Lembaga Siasatan yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden tersebut telah mengeluarkan laporan awal.

Laporan awal mendapati kesemua kru udara terbabit disahkan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat.

"Tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

"Kedua-dua pesawat disahkan berada dalam keadaan airworthy ('safe to fly') semasa hari kejadian.

"Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak 'Original Equipment Manufacturer' (OEM).

"Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan. 

"Pesawat HOM AW139 mempunyai 'black box' atau kotak hitam manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 (21 tahun) tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut.

"Data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder ('black box') pesawat HOM AW139 telah diterima (3 Mei) daripada pihak OEM untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan," menurut kenyataan TLDM.

Dalam pada itu, jawatankuasa terbabit sedang meneruskan siasatan berkenaan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang telah menyumbang kepada insiden tersebut.

Lembaga Siasatan yang dianggotai seramai sembilan pegawai TLDM turut mendapat bantuan daripada Markas Tentera Udara.


NIZAHA BINTI ABDUL KAREM