fb fb fb fb fb

Tragedi helikopter: Proses bedah siasat mangsa di HRPB

Identiti kesemua mangsa telah dikenal pasti dan kenyataan rasmi mengenainya akan dikeluarkan pihak TLDM.

LUMUT, 23 April- Proses bedah siasat sepuluh mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak akan dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata waris kesemua mangsa juga telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

"Pihak penyelamat yang diketuai TLDM dan pasukan penyelamat lain termasuk PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) sedang membuat kerja-kerja siasatan di tempat kejadian.

"Dua lokasi tersebut di stadium bola sepak dan kawasan kolam renang TLDM," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di sini.

Dalam kejadian pagi tadi, sepuluh mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita yang merupakan anggota TLDM telah terkorban dalam nahas tersebut.

Insiden berlaku ketika sesi latihan sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90.

Identiti kesemua mangsa telah dikenal pasti dan kenyataan rasmi mengenainya akan dikeluarkan oleh pihak TLDM.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM