fb fb fb fb fb

Tragedi helikopter: Keluarga Muhammad Firdaus terima sumbangan wang tunai

Tiga kotak makanan keperluan asas turut disampaikan daripada yayasan tersebut.

GEORGE TOWN, 26 April- Cakna dengan mangsa nahas helikopter, kerajaan Pulau Pinang tampil menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli.

Sumbangan itu yang merupakan peruntukan khas Ketua Menteri diserahkan sendiri Chow Kon Yeow kepada bapa Allahyarham, Ramli Abd Hamid ketika menziarahi kediaman keluarganya di Pantai Jerejak, petang tadi.

Beliau berkata kerajaan negeri sedia berbincang berkaitan lain-lain bantuan kepada keluarga Allahyarham.

"Takziah sekali lagi kepada keluarga Allahyarham dan sumbangan ini merupakan keprihatinan daripada saya dan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak turut menziarahi keluarga Allahyarham.

Beliau menyerahkan sumbangan berupa cek bernilai RM10,000 kepada isteri Allahyarham, Soffiyah Sa’adon daripada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT), di samping RM25,000 yang disumbangkan beberapa ahli korporat.

Tiga kotak makanan keperluan asas turut disampaikan daripada yayasan tersebut.

Turut hadir menziarahi keluarga Allahyarham, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa.

Muhammad Firdaus, 44 antara 10 tentera yang maut dalam nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, Selasa lepas.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM