
GUA MUSANG, 17 Februari Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di Gua Musang, Kelantan disambut meriah apabila komuniti Cina setempat meraikannya dengan pelbagai tradisi termasuk penyediaan hidangan ‘Lao Sang’, pemasangan tanglung serta pertunjukan mercun dan bunga api.
- Komuniti berkumpul menggaul Yee Sang sebagai simbol tuah, kemakmuran dan limpahan rezeki.
- Pemasangan tanglung dan pertunjukan mercun serta bunga api memeriahkan suasana perayaan.
- Hidangan pelbagai warna disediakan sambil berdoa untuk mendapat 'ong' dan kesejahteraan.
- Sambutan diraikan meriah bersama keluarga dan rakan pelbagai kaum dengan harapan keselamatan dan keberkatan.
Suasana ceria jelas terpancar apabila ahli keluarga dan rakan taulan berkumpul bagi menggaul ‘Lao Sang’, yang menjadi simbol tuah, kemakmuran dan limpahan rezeki pada tahun baharu.
Penduduk turut menzahirkan harapan agar tahun ini membawa lebih banyak kebaikan, keberkatan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat setempat.
“Biasanya kami akan adakan makan besar pada waktu malam. Kami pasang tanglung dan bermain mercun untuk memeriahkan suasana. Kadang-kadang satu meja boleh sampai lapan hingga sepuluh orang. Kami berdoa untuk memperoleh ‘ong’ atau tuah. Semakin ramai yang berkumpul, semakin meriah sambutannya,” kata Ng Kae Shyuan.
“Kami sediakan lobak merah, epal, pelbagai jenis sayur dan limau. Biasanya tujuh warna digunakan bagi mencantikkan hidangan. Sambil menggaul, kami berdoa dan memohon agar semua mendapat ‘ong’ dan kesejahteraan pada tahun ini,” kata Chin Qi Yao.
“Di rumah, kami akan adakan hidangan Yee Sang setiap tahun dengan harapan memperoleh nasib baik dan rezeki yang lebih baik. Perayaan ini turut diraikan bersama rakan-rakan pelbagai kaum. Kami berharap tahun ini membawa ‘ong’ dan keselamatan ke mana sahaja kami pergi,” jelas Yong Loi Heng,
Dianggarkan kira-kira 4,000 masyarakat Cina di Gua Musang menyambut Tahun Baharu Cina tahun ini.