PETALING JAYA, 11 September – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa model perniagaan inklusif (Inclusive Business (IB)) perlu menjadi tonggak utama dalam pertumbuhan ekonomi ASEAN bagi memastikan kesejahteraan dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.
“Perniagaan Inklusif bukanlah dasar abstrak atau slogan korporat. Ia adalah nadi kehidupan sebuah model yang mengangkat komuniti berpendapatan rendah daripada hanya menjadi pemerhati kepada rakan kongsi.
"Di sinilah maruah dipelihara, usaha disemarakkan dan kemakmuran dinikmati bersama,” katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN 2025 di sini, malam ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan.
Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan pelancaran 'Capacity Building and Talent Development Framework for Inclusive Business in ASEAN', iaitu panduan praktikal untuk membantu kementerian serta agensi membangunkan ekosistem IB dan mengintegrasikannya ke dalam strategi nasional.
Bagaimanapun, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menegaskan sebarang rangka kerja hanya akan berjaya jika dilaksanakan mengikut realiti setempat, dengan mendengar suara petani, peniaga kecil, wanita serta belia di peringkat akar umbi.
Beliau turut menyeru agar sektor perniagaan mengubah perspektif daripada sekadar mengejar keuntungan suku tahunan kepada berapa ramai kehidupan yang dapat diangkat serta halangan yang berjaya dihapuskan.
“ASEAN harus memainkan peranan dalam usaha global membasmi kemiskinan tegar menjelang 2030. Kita mesti memastikan masa depan rantau ini benar-benar inklusif, mampan dan adil,” katanya.
Majlis Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN yang diadakan bersempena Forum Perniagaan Inklusif ASEAN ke-8 adalah pencapaian penting dalam perjalanan ASEAN ke arah masa depan yang lebih inklusif dan mampan.
Majlis itu turut memberi pengiktirafan kepada 10 syarikat cemerlang daripada seluruh ASEAN yang telah menerapkan model perniagaan inklusif dalam operasi syarikat dan menunjukkan kaedah perniagaan mendapat keuntungan di samping meningkatkan taraf hidup masyarakat berpendapatan rendah dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menyifatkan penghargaan itu sebagai inspirasi bahawa perniagaan mampu melangkaui keuntungan semata-mata.
“Marilah kita bersama membentuk ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik serta berpusatkan rakyat sebuah ASEAN yang benar-benar tidak meninggalkan sesiapa pun,” katanya.
