
BAGAN DATUK, 18 Februari – Sambutan Tahun Baharu Cina terus menjadi platform mengukuhkan perpaduan dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
- Zahid teruskan tradisi tahunan sambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga angkat, menekankan ikatan kekeluargaan.
- Hari kedua perayaan dimanfaatkan untuk suasana mesra, penuh kasih dan perbualan santai.
- Zahid ucap terima kasih kepada Beh Song Wan atas jemputan tahunan dan harapan hubungan berkekalan.
- Majlis dihadiri pemimpin tempatan, penduduk, termasuk persembahan tarian singa dan sesi beramah mesra.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri meneruskan tradisi tahunan meraikan perayaan itu bersama keluarga angkatnya, Beh Song Wan atau mesra dipanggil Bujang dalam Majlis Silaturahim Tahun Baharu Cina di Dewan Serbaguna Dato’ Haji Abdullah Ahmad, Hutan Melintang.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, hari kedua perayaan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meluangkan masa dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan yang sentiasa dinantikan setiap tahun.
“Ini memang tradisi tahunan yang sentiasa saya nantikan. Di sinilah terjalinnya hubungan kekeluargaan yang telah terbina sekian lama, penuh kasih dan keikhlasan.
“Suasana sambutan ini dipenuhi gelak tawa, hidangan enak dan pelbagai topik perbualan yang membuatkan masa terasa berlalu begitu cepat … benar-benar terasa seperti pulang ke rumah sendiri,” katanya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Beh kerana setiap tahun mengundang beliau meraikan perayaan berkenaan dengan sambutan penuh kemesraan.
“Semoga hubungan yang terjalin ini terus kekal erat dan diberkati, insya-Allah,” katanya.
Majlis anjuran Bujang dan keluarga itu turut dihadiri kepimpinan tempatan serta penduduk sekitar.
Turut diadakan persembahan tarian singa dan beliau juga meluangkan masa beramah mesra bersama tetamu.