fb fb fb fb fb

TPM arah siasat dakwaan kontena Israel di Iskandar Puteri

Ahmad Zahid mengulangi pendirian bahawa negara sangat terikat kepada dasar kerajaan, tiada hubungan diplomatik dan perjanjian perdagangan dengan Israel.

BAGAN DATUK, 2 Jun- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan siasatan segera dilakukan susulan dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM di sebuah pelabuhan Iskandar Puteri, Johor.

Ahmad Zahid mengulangi pendirian bahawa negara sangat terikat kepada dasar kerajaan, tiada hubungan diplomatik dan perjanjian perdagangan dengan Israel.

Sehubungan itu, beliau meminta pemantauan lebih ketat dilakukan di mana-mana pelabuhan negara bagi memastikan ianya tidak mudah dibolosi.

"Jika ada barangan dari Israel itu yang ada di mana-mana pelabuhan Malaysia dengan menggunakan pihak ketiga, perkara ini kita harus lakukan pemantauan.

"Saya fikir pihak lembaga pelabuhan dan kastam perlu bertindak dengan segera kerana kita tahu yang berlaku bukan hanya soal perdagangan tetapi juga bagaimana peraturan-peraturan yang begitu ketat telah terbolos dengan adanya barang yang masuk ke dalam pelabuhan kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pengoperasian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di sini.

IPD ke-16 di Perak itu secara tidak rasmi telah mula beroperasi pada 16 Mac lalu dengan kekuatan 267 penjawatan.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad memaklumkan menerima aduan daripada penduduk mengenai pelabuhan berkenaan didakwa masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.

Penduduk meminta penjelasan mengenai dakwaan tersebut walaupun kerajaan sudah mengeluarkan larangan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata keupayaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa dipertingkat bagi mendepani cabaran dan ancaman moden yang semakin mencabar.

Beliau berkata selain kecekapan anggota, pasukan itu juga perlu dibekalkan dengan peralatan lebih canggih sesuai dengan teknologi masa kini.

Selain itu, kemahiran anggota PDRM dalam teknologi juga harus diperkasa bagi menangani jenayah terancang, rentas sempadan dan siber.

"Dalam hal ini penggunaan kecerdasan buatan (AI) umpamanya dan Internet Kebendaan (IoT) adalah elemen penting yang harus diberikan kepada PDRM.

"Saya amat yakin Menteri Dalam Negeri yang akan berkunjung ke China selepas lawatan..saya pasti akan memberikan beberapa pandangan kepada pihak 'Ministry Of Public Security China' yang telah bertemu dengan saya untuk membantu pihak polis di Malaysia.

"Bukan kita tidak ada kerjasama dengan polis di negara lain tetapi di China antara negara yang mempunyai peralatan dan teknologi canggih dalam bidang keselamatan," kata Ahmad Zahid.

Dalam hal ini penggunaan AI umpamanya dan IoT adalah antara elemen penting yang harus diberikan kepada pihak PDRM.

Jelas beliau, kewujudan agensi tunggal sempadan salah satu usaha untuk membanteras pelbagai bentuk jenayah di sempadan negara.

Malah, akta khusus juga akan dirangka kerajaan untuk pelaksanaan inisiatif itu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM