ToU pendekatan relevan bantu pengguna kurangkan bil elektrik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 April – Skim Time of Use (ToU) dilihat sebagai pendekatan yang relevan dan berkesan dalam membantu pengguna mengurangkan kos bil elektrik, di samping menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap ketika berdepan ketidaktentuan harga tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengguna menyambut baik skim ToU dan melihatnya membantu menjimatkan bil elektrik.
  • Banyak pengguna melaporkan penjimatan kira-kira RM80 sebulan selepas beralih ke skim ToU.
  • Skim ini memudahkan pengurusan perbelanjaan isi rumah semasa kenaikan harga minyak dan barangan.
  • Sehingga Februari, 128,868 pengguna beralih kepada ToU, mencerminkan peningkatan kesedaran penggunaan tenaga efisien.

Rata-rata individu yang ditemui RTM menyambut baik pendekatan itu dalam membantu pengguna menjimatkan kos elektrik.

Bagi penjawat awam Muhammad Firdaus Nordin yang ditemui RTM berpendapat, skim tersebut sangat membantu selepas mula menggunakannya.

“Melalui skim Time of Use, saya berjaya menjimatkan kira-kira RM80 sebulan, daripada bil elektrik biasa sekitar RM250 kepada hanya RM160 hingga RM170 maksimum.

“Jadi, ia benar-benar memberi manfaat, terutamanya dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, ditambah pula dengan ketidaktentuan krisis di Asia Barat.

“Saya juga berpendapat kita masih belum pasti berapa lama krisis di Asia Barat ini akan berlarutan dan sama ada ia akan berakhir dalam masa terdekat. Oleh itu, saya yakin langkah yang diambil oleh kerajaan adalah tepat dan wajar,” katanya.

Menurut Nurul Ashikin, skim berkenaan dilihat mampu membantu rakyat Malaysia dalam mengurangkan beban kewangan.

“Bagi saya, skim ToU ini membantu rakyat Malaysia kerana ia dapat mengurangkan beban kewangan. Ia memudahkan kita mengurus perbelanjaan, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa dengan krisis di Asia Barat yang menyebabkan harga minyak dan barangan meningkat. Jadi, ia memudahkan kehidupan kita,” jelasnya.

Nor Amiratul pula berpendapat bahawa skim ToU mampu membantu negara mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik ketika ini.

“Bagi saya, skim Time of Use ini sememangnya sangat membantu negara dalam mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik pada masa kini, khususnya ketika berlakunya krisis tenaga. Saya melihat skim ini sebagai satu inisiatif yang sangat menggalakkan dan berkesan untuk negara kita,” katanya.

Sementara itu, Thesathama Ravi berkata, mekanisme tersebut sedikit sebanyak dapat memberi penjimatan kepada pengguna dan membantu meringankan beban kewangan isi rumah, khususnya dalam situasi ekonomi semasa.

“Jadi, harga makanan dan minyak sudah meningkat. Sekurang-kurangnya, kita boleh mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan ia akan menjimatkan kewangan isi rumah,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 128,868 pengguna telah beralih kepada skim ToU sehingga Februari lepas.

Ia sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pengurusan tenaga lebih efisien.

Pendekatan penggunaan tenaga secara lebih bijak melalui skim berkenaan memberi peluang kepada pengguna menikmati kadar tarif elektrik lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak selain membantu penjimatan melalui perubahan corak penggunaan harian.