fb fb fb fb fb

Tong Pulai, Tat Pulai dipindahkan ke habitat sesuai

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini memindahkan dua ekor gajah jantan liar ke habitat sesuai

GUA MUSANG, 11 Januari- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini memindahkan dua ekor gajah jantan liar ke habitat sesuai.

Ia berikutan gajah berkenaan dipercayai menyebabkan kerugian kira-kira RM1 juta dalam tempoh setahun kepada pekebun di Kampung Pulai di sini.

Ketua Operasi Translokasi Gajah Liar Kampung Pulai, Mohamad Zainuddin Busrah berkata, operasi membawa keluar gajah itu dibantu oleh dua gajah denak iaitu Rambai dan Sanum dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.

"Dua ekor gajah liar ini ditambat dan proses penarikan menggunakan dua khidmat Sanum dan Rambai. Operasi pemindahan itu memakan masa enam jam untuk kita bawa ke atas lori," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Mohamad Zainuddin, gajah liar jantan berkenaan diberi nama Tong Pulai yang dianggarkan berusia antara 20 hingga 25 tahun dengan berat kira-kira dua tan dan saiz tapak kaki dianggarkan 13 inci.

Manakala, seekor lagi diberi nama Tat Pulai dianggarkan berusia antara 10 hingga 15 tahun dengan anggaran berat kira-kira 1.2 tan dengan saiz tapak kaki 10 inci.

Operasi terbabit melibatkan 24 anggota daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan dan anggota Perhilitan.

Selasa lalu dua ekor gajah liar yang mengganggu tanaman penduduk di Kampung Pulai ditangkap Perhilitan Kelantan.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata ia susulan aduan diterima oleh penduduk pada 1 Januari lalu.

Seramai tujuh anggota dari Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan menjalankan pemantauan dan seterusnya berjaya menangkap dua ekor gajah liar jantan berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI