
KUALA LUMPUR, 2 Februari – Pengukuhan toleransi beragama, pembentukan akhlak serta keselamatan rumah ibadat perlu diberikan perhatian dalam memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
- Perkukuh toleransi beragama untuk memelihara keharmonian masyarakat majmuk dan saling menghormati antara penganut agama.
- Utamakan pembangunan rumah ibadat seimbang antara aspek fizikal dan fungsi sosial sebagai pusat pertemuan komuniti.
- Jaga keselamatan rumah ibadat, khususnya semasa acara utama seperti solat Jumaat, bagi melindungi jemaah.
- Umat Islam mesti tunjukkan akhlak dan adab terbaik dalam mengurus perbezaan antara agama dan komuniti.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keperluan itu semakin signifikan khususnya di kawasan bandar yang menempatkan pelbagai rumah ibadat sekali gus memerlukan sikap saling menghormati serta adab yang tinggi dalam kalangan rakyat.
Menjadikan Brickfields di sini sebagai contoh, beliau berkata kawasan itu menempatkan lebih 17 rumah ibadat pelbagai agama termasuk gereja dan kuil.
“Kita mesti belajar menghormati agama lain. Dalam keadaan inilah Malaysia menjadi sebuah negara yang harmoni, bertoleransi dan berbilang kaum,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan tambahan baharu (Fasa 1) Madrasathul Gouthiyyah (Surau Jumaat), Brickfields di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pembangunan rumah ibadat perlu seimbang antara aspek fizikal dan fungsi sosial sebagai pusat pertemuan dan aktiviti kemasyarakatan.
Beliau turut menekankan umat Islam perlu menunjukkan akhlak dan adab terbaik dalam menguruskan perbezaan, sama ada sesama Islam atau dengan penganut agama lain.
Bangunan tambahan Madrasathul Gouthiyyah (Surau Jumaat) yang siap bulan lepas bertujuan menangani peningkatan jemaah dan aspek keselamatan, terutama semasa solat Jumaat.
Surau yang bermula sebagai madrasah pada 1987 dan dinaik taraf kepada Surau Jumaat pada 2012 ituberdepan cabaran kapasiti apabila hanya mampu menampung kira-kira 800 jemaah, menyebabkan solat terpaksa dilaksanakan di luar kawasan surau dan di atas jalan raya.