
SHAH ALAM, 13 Mac – Rakyat Malaysia diseru menolak ucapan kebencian dan terus memupuk semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama bagi memastikan keharmonian negara kekal terpelihara.
- Lihat setiap individu sebagai manusia tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang.
- Jangan biarkan perbezaan menjadi penghalang untuk saling menghormati dan hidup aman.
- Tonjolkan lebih banyak kisah perpaduan positif dan kurangkan fokus pada insiden terpencil di media sosial.
- Perkasa perpaduan secara berterusan untuk mengekalkan keharmonian demi kesejahteraan generasi akan datang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setiap individu perlu melihat antara satu sama lain sebagai sesama manusia tanpa mengira latar belakang, agama mahupun perbezaan yang wujud dalam masyarakat.
Jelasnya, secara dasarnya rakyat tidak diberi pilihan untuk memilih bangsa atau latar belakang ketika dilahirkan, justeru perbezaan yang ada tidak seharusnya menjadi penghalang untuk saling menghormati serta hidup dalam suasana aman dan harmoni.
“Masyarakat perlu terus menyemai nilai perpaduan walaupun wujud perbezaan dari segi agama dan kaum.Mesej utama yang dibawa oleh Islam serta agama-agama utama lain di negara ini sebenarnya menekankan nilai sejagat seperti keamanan, keharmonian dan sikap saling menghormati.
“Walaupun kita mempunyai perbezaan dari segi agama dan kaum, pengajaran daripada Islam dan juga agama-agama utama lain di negara ini adalah berkaitan keamanan serta nilai sejagat seperti hormat-menghormati,” katanya ketika ditemui media selepas program.
Tambah beliau, dalam kehidupan seharian terdapat banyak kisah perpaduan yang berlaku dalam masyarakat, namun ia sering tenggelam akibat kebisingan di media sosial yang lebih menonjolkan insiden terpencil.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak untuk menonjolkan lebih banyak kisah positif berkaitan perpaduan agar semangat kebersamaan rakyat terus diperkukuh.
“Kita telah membuktikan selama berpuluh tahun bahawa rakyat Malaysia mampu hidup dalam aman dan harmoni. Cara hidup ini perlu diteruskan dengan mengekalkan sikap saling menghormati serta meraikan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan usaha memperkasa perpaduan perlu dilaksanakan secara berterusan agar keharmonian yang dikecapi negara terus terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Table for Unity: Ramadan in Diversity di Kompleks Karangkraf di sini.
Program anjuran Komuniti Mualaf Baharu (NMC) menerusi Al Khaadem dengan kerjasama Sinar Harian, Sinar Daily dan Karya Bestari itu turut menampilkan Presiden dan Pengasas Al-Khaadem, Datuk Dr Hussain Yee sebagai panelis.