fb fb fb fb fb

Tolak fahaman ekstrem, amal konsep Wasatiyah - Menteri Agama

Menteri Hal-Ehwal Agama, Datuk Mohd Na'im Mokhtar / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Mei - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak sebarang fahaman ekstrem dan melampau susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor sehingga mengorbankan dua anggota polis pada Jumaat (semalam).

Dalam satu kenyataan, Menterinya, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya mengajak semua rakyat untuk mengukuhkan keamanan negara dengan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) serta berpegang teguh kepada nilai-nilai rahmah dan ihsan.

"Mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Almarhum Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terlibat dengan kejadian yang amat menyedihkan ini.

"Semoga seluruh ahli keluarga bersabar serta dikurnia ketabahan yang tinggi berhadapan dengan ujian berat ini", katanya.

Na'im turut menggesa agar semua pihak bertenang dan memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa khususnya PDRM untuk membuat siasatan terperinci.

Jelasnya, pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan perlu dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD