fb fb fb fb fb

Tolak Akta Laut Wilayah 2012, DUN Terengganu perlu cari jalan penyelesaian

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PADANG BESAR, 26 April - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyelar tindakan sebulat suara Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menasihati Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar supaya tidak bersikap hipokrit berkaitan isu berkenaan.

Beliau berkata, tiada seorang pun Ahli Parlimen dari Terengganu yang membantah akta berkenaan sewaktu ia dibentangkan di Parlimen.

"Kenapa pada waktu akta ini dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan, beliau langsung tidak bangkitkan apa-apa bantahan pada waktu itu. Jadi sudah pasti ramai yang membangkitkan dan sebenarnya Ahli Parlimen PAS dari Kelantan, Tumpat dan Kubang Kerian mereka bangkit untuk mempersoal dan membangkitkan isu ini.

"Tapi dari Kelantan, bukan Terengganu, jadi jangan jadi hipokrik, Menteri Besar Terengganu perlu tanya dengan Ahli Parlimen Marang, kenapa waktu Rang Undang-Undang ini di bahaskan, Ahli Parlimen Marang diam seribu bahasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja Point of Presence (POP) Zon Utara, di sini.

Fahmi berkata, Menteri Besar Terengganu itu seharusnya duduk berbincang dengan kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari jalan penyelesaian dalam perkara tersebut.

Semalam, Ahmad Samsuri dilapor berkata sidang DUN Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana ia membataskan hak negeri itu menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) daripada garis air surut wilayah Terengganu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN