fb fb fb fb fb

Tokoh Maulidur Rasul 2025 fokus perkasa fungsi masjid

Penerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul 2025, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

ANGKASAPURI, 6 September - Penerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul 2025, Tan Sri Abdul Rashid Hussain bertekad memperkasa fungsi masjid agar tidak hanya tertumpu sebagai rumah ibadah, sebaliknya menjadi pusat komuniti inklusif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu berkata, masjid perlu diimarahkan dengan pelbagai program kemasyarakatan termasuk memberi tumpuan kepada isu semasa seperti kesihatan mental yang semakin membimbangkan dalam kalangan umat Islam.

“Saya dah tukar kurikulum daripada segi aktiviti di masjid. Kita tak pentingkan yang keagamaan saja, tapi kita mula mengenali masalah mental health dalam masyarakat Islam. Saya nak gunakan masjid bukan hanya untuk orang beribadat lima waktu, tetapi sebagai community centre yang ada reach kepada segala peringkat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, pagi tadi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul kepada Tan Sri Abdul Rashid Hussain pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M, semalam.

Penganugerahan itu sebagai mengiktiraf sumbangan beliau terhadap pembangunan infrastruktur Islam termasuk Masjid A’ishah Sungai Mengulu di Langkawi dan Masjid Sri Sendayan di Seremban.

TUN JULIA MOHD TAHIR