(Ahmad Said, calon BN-PH di DUN Kijal)
KEMAMAN, 30 Julai- Tohmahan pihak pembangkang berhubung pengumuman geran oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) pada Jumaat lalu sebagai 'sogokan' pilihan raya disifatkan sekadar retorik politik.
Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Dr Ahmad Said menjelaskan, pengumuman itu tidak dilakukan ketika tempoh kempen pilihan raya, sebaliknya ia tanggungjawab Ahmad Zahid yang juga selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam menyalurkan peruntukkan kepada warga Ketengah.
Ahmad Said yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Kijal itu berkata, Ketengah adalah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta menyifatkan pengumumuan pemberian itu sekadar pemberitahuan insiatif kerajaan dalam memperkasakan golongan belia.
"Sebagai menteri yang berkenaan, beliau boleh isytiharkan (atau) beritahu rakyat apa yang dirancang pada masa depan, kalau tidak, orang tidak tahu. Ia juga bukan diberi semasa (kempen) pilihan raya.
"PAS baru ini beri i-Fitri semasa (tempoh berkempen) pilihan raya (PRU15), (disalurkan pada) 15,16 dan 17 (November 2022), sedangkan pilihan raya pada 19 haribulan. Sebab itu kita (Barisan Nasional) kemukan petisyen di mahkamah dan kita menang di Kuala Terengganu," katanya.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, serta calon Kijal, Datuk Razali Idris (PAS) yang mendakwa pengumuman geran oleh Ahmad Zahid itu sebagai satu bentuk sogokan atau 'gula-gula' pilihan raya.
Ahmad Said ditemui pemberita selepas menjalankan aktiviti kempen melibatkan lawatan ke Klinik Kesihatan Kijal serta menyantuni pengundi di kediaman mereka sekitar DUN Kijal.
Jumaat lalu, Ahmad Zahid mengumumkan pemberian geran membabitkan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Ketengah.
Terengganu adalah antara enam negeri yang terbabit dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15), selain Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.
(Ahmad Said menyantuni penduduk DUN Kijal)