TNB siap siaga demi keselesaan rakyat sambut Aidilfitri

Foto TNB

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggerakkan lebih 11,000 petugas bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Petugas bersiap siaga 24 jam secara giliran bermula tiga hari sebelum Aidilfitri untuk memantau rangkaian dan tindak balas segera terhadap gangguan.
  • Melaksanakan naik taraf sistem rangkaian dan pemantauan berterusan terhadap aset serta infrastruktur kritikal di seluruh negara.
  • Petugas CareLine ditugaskan giliran 24 jam untuk mengendalikan talian pelanggan dan platform media sosial sepanjang musim perayaan.
  • 136 janakuasa bergerak dan 379 kenderaan sokongan disediakan untuk kontingensi; orang ramai dinasihatkan utamakan keselamatan elektrik.

Ketua Pegawai Kanan Rangkaian TNB, Ir. Mahathir Nor Ismail berkata, anggota terlibat akan bersiap siaga selama 24 jam secara giliran bermula tiga hari sebelum hari raya bagi memantau sistem rangkaian elektrik serta mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan.

TNB turut melaksanakan pelbagai langkah kesiapsiagaan termasuk projek menaik taraf sistem rangkaian bekalan elektrik serta pemantauan berterusan terhadap aset dan infrastruktur kritikal di seluruh negara.

“Komitmen ini penting bagi memastikan rakyat dapat membuat persediaan dan seterusnya menyambut Aidilfitri dengan penuh ceria serta selesa bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Bagi memperkukuh sokongan operasi sepanjang musim perayaan, TNB turut menugaskan petugas CareLine secara giliran 24 jam untuk mengendalikan talian perkhidmatan pelanggan dan platform media sosial.

Selain itu, sebanyak 136 janakuasa bergerak ditempatkan di lokasi strategik serta 379 kenderaan sokongan termasuk kren auger, tower wagon, skylift dan lori penyelenggaraan disediakan sebagai langkah kontingensi sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Orang ramai dinasihatkan mengutamakan keselamatan elektrik serta mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap sepanjang musim perayaan.