KUALA LUMPUR, 30 Mac- Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil langkah persediaan menyeluruh bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil di seluruh Semenanjung sepanjang sambutan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Mahathir Nor Ismail menerusi satu kenyataan memaklumkan, berkata beberapa projek naik taraf sistem rangkaian bekalan telah dilaksanakan, selain penempatan 271 jana kuasa bergerak di lokasi strategik sebagai langkah tambahan.
"Lebih 10,000 pekerja TNB akan bersiap siaga 24 jam sehari, bermula dua hari sebelum Syawal hingga hari raya ketiga, bagi memastikan kelancaran bekalan elektrik.
"Pasukan teknikal kami akan terus memantau keadaan dan bertindak segera sekiranya berlaku gangguan bekalan," katanya.
Mahathir turut mengingatkan pengguna untuk mengutamakan keselamatan elektrik ketika meninggalkan rumah atau mengadakan rumah terbuka Aidilfitri.
"Sebelum pulang ke kampung, pastikan suis utama dimatikan dan cabut palam peralatan elektrik yang tidak digunakan. Elakkan membebankan soket dengan terlalu banyak peralatan atau kabel penyambung," katanya lagi.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut atau membuat aduan menerusi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 atau melalui platform media sosial rasmi TNB.