KUALA KANGSAR, 15 Oktober- Tenaga Nasional Berhad (TNB) dimohon untuk memaklumkan lebih awal sebarang tindakan pelepasan air dari Empangan Chenderoh di sini bagi membolehkan penduduk membuat persiapan, sekali gus meminimumkan kerosakan harta benda akibat banjir.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya memahami situasi itu tidak dapat dielakkan, namun penyelarasan maklumat kepada pihak berkuasa daerah perlu untuk membantu penduduk terutama di Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Hilir Perak.
"Kita faham TNB tidak boleh menyimpan air terlalu lama di empangan kerana dikhuatiri ia boleh pecah. Oleh itu, mereka terpaksa melepaskan air, dan kita tidak akan menyalahkan TNB.
"Namun, kita minta koordinasi yang lebih baik dengan memaklumkan kepada pejabat daerah agar penduduk dapat membuat persiapan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lasah di sini hari ini.
Sementara itu, penduduk menyifatkan banjir berlaku dengan pantas dan secara mendadak. Seorang penduduk, Arbi Nik berkata, "Saya bangun untuk solat subuh pukul 5.00 pagi, bila sampai bilik mandi air sudah penuh. Waktu itu memang tak dapat buat apa-apa, cuma dokumen penting sempat diselamatkan."
Mohd Nasir Mohd Yusof pula berkongsi bahawa air banjir masuk ke dalam rumahnya hingga paras dada, manakala perabot rosak sepenuhnya.
Penduduk lain, Hidayah Hitam berkata, "Air datang sangat laju, pukul 4.00 pagi ketika solat tahajud, dan tiba-tiba rumah sudah dipenuhi air. Banyak barang dalam rumah tidak dapat diselamatkan, cuma sempat selamatkan nyawa sahaja."
Dalam pada itu, seramai 766 penduduk daripada 242 keluarga telah dipindahkan ke tiga PPS di daerah tersebut, setakat pukul 6.00 petang tadi.