fb fb fb fb fb

TMPs 2024-2025: Kerajaan Perlis tumpu kawasan tumpuan pelancong

Foto BERNAMA

PADANG BESAR, 3 Jun- Pelbagai usaha digerakkan kerajaan Perlis khususnya sepanjang Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024 hingga 2025 bagi memeriahkan kawasan tumpuan pelancong di Padang Besar.

Menurut Exco Perlis, Izizam Ibrahim, ini termasuklah pengoperasian Plaza Niaga Baharu Padang Besar, mewujudkan Bazar Malam di pekan Padang Besar serta cadangan penutupan pintu sempadan sehingga pada pukul 12.00 tengah malam berbanding pada pukul 10.00 malam ketika ini yang kini dalam pertimbangan kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, ketika ini pengunjung khususnya pada cuti umum, cuti persekolahan atau hujung minggu menjadikan Padang Besar sebagai lokasi membeli-belah, namun kegiatan perniagaan itu hanya wujud pada waktu siang.

Berikutan perkembangan sosioekonomi di Padang Besar, suasana malam di sekitar pekan Padang Besar perlu dihidupkan segera berikutan ramai pengunjung luar memilih menginap di inap desa sekitar Padang Besar sebelum ke Thailand khususnya pada hari cuti.

"Dalam tahun ini memang saya akan cuba laksanakan untuk tahun inilah untuk ceriakan Padang Besar.

"Pasal saya dapat laporan contohnya macam di Padang Besar ini, penduduk saja yang duduk di 'homestay' dekat 1,000 orang, tak tahu pergi mana.

"Itu saya cuba naikkan Padang Besar balik.. tengoklah di Kampung Kolam, tapi ada kekangan-kekangan daripada segi bajet apa semua, kita tengok mana yang boleh kita usahakan..kita teruskan," katanya ketika meninjau pengoperasian Plaza Niaga Baharu Padang Besar di sini.

Pembangunan ekonomi sempadan tidak hanya bertumpu di Padang Besar sahaja, sebaliknya perlu juga melibatkan kawasan Wang Kelian yang dahulunya meriah dengan pasar sehari menerusi pelaksanaan zon aliran bebas.

Kerajaan Persekutuan kini sedang mempertimbangkan pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian yang dimansuhkan sejak 2015 menerusi komitmen kelulusan peruntukan RM30 juta membangunkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian yang pada waktu ini dikenali sebagai Pos Imigresen Wang Kelian.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM