KUALA LUMPUR, 6 Januari - Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026) dijangka menjadi pemangkin ekonomi negara dengan memanfaatkan keunikan serta kepelbagaian produk pelancongan yang tersedia, di samping menawarkan pengalaman bermakna kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Menurut pemain industri pelancongan yang dihubungi RTM, inisiatif ini memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak termasuk negeri-negeri serta agensi pelancongan untuk mencapai kejayaan.
Fadhirul Anuar Salleh, seorang pemain industri pelancongan, menegaskan elemen kelestarian pelancongan seperti community-based tourism dan experiential tourism perlu diutamakan.
"Ini merupakan sebuah pengalaman yang boleh dicipta untuk pelancong domestik dan antarabangsa. Namun, ia tidak akan tercapai sekiranya hanya dilaksanakan oleh MOTAC dan Tourism Malaysia. Setiap agensi di 14 negeri perlu memastikan operator pelancongan masing-masing menghasilkan produk baru yang berdaya saing, selamat, dan bersih," katanya.
Sementara itu, Thevaraj Elangovan, turut berpandangan bahawa pendekatan Tahun Melawat Malaysia 2026 mampu meningkatkan ekonomi negara.
"Malaysia mempunyai keindahan tersendiri seperti pulau dan hutan, selain keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi daya tarikan utama kepada pelancong," jelasnya.
Pemain industri sepakat bahawa keberhasilan program ini bergantung kepada usaha kolektif semua pihak dalam memastikan produk pelancongan Malaysia terus kekal relevan dan menarik di peringkat global.