fb fb fb fb fb

TMM2024: Tiada kenaikan harga bilik akan berlaku

Gambar hiasan

AYER KEROH, 20 Disember - Tiada kenaikan kadar harga bilik akan berlaku sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ini susulan penganjuran cabutan bertuah Bercuti dan Menang kepada pengunjung yang menginap di Melaka.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri telah menetapkan beberapa syarat kepada pengusaha hotel yang menyertai penganjuran itu bagi memastikan pelancong dapat harga berpatutan.

"Ada syarat-syarat yang tertentu untuk pemilik-pemilik hotel yang layak untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri.

"Kita akan memantau dan memerhatikan bahawa tidak ada kenaikan harga bilik sepanjang tempoh tahun melawat Melaka... dia (pemilik premis hotel) akan menerima pengunjung yang lebih ramai daripada biasa. Sudah pasti kita ada unit yang mengawal selia setiap hotel di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Cabutan Bertuah dan Kupon Diskaun Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 dan Pelancaran Pelan Induk Pelancongan Melaka 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadiah cabutan bertuah berupa lima buah kereta bernilai lebih RM100,000 setiap satu dan sebuah bot menanti pengunjung bertuah yang melawat Melaka pada tahun hadapan.

Cabutan bertuah berkenaan akan dilakukan pada setiap tiga bulan sekali sepanjang TMM 2024 dan penyertaan berdasarkan beberapa syarat ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN