fb fb fb fb fb

TMM2024: Mahu pengunjung berbaju kebaya Baba Nyonya

Sebahagian masyarakat Baba dan Nyonya memperagakan pakaian tradisional kaum berkenaan iaitu kebaya nyonya/FOTO FAIL BERNAMA

BANDA HILIR, 18 Disember - Orang ramai yang berkunjung ke Melaka digalakkan menggayakan pakaian tradisional Kebaya Nyonya bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ini sekali gus melambangkan keunikan budaya peranakan yang popular dipakai kaum Baba Nyonya.

"Saya akan meminta supaya Institut Warisan Melaka (INSWA) dapat menganjurkan Hari Kebaya Baba dan Nyonya Melaka yang akan dianjurkan selama 3 hari 2 malam dan semua orang yang datang ke Melaka pada hari tersebut akan memakai baju baba dan nyonya.

"Ini terutamanya dalam memperagakan kebaya Melaka nanti, dapat menjadikan satu sektor pelancongan yang terbaharu dan akan memberikan pulangan kepada peniaga-peniaga yang ada di Melaka terutama dalam memperagakan pakaian baju kebaya nanti," katanya selepas menyempurnakan Perasmian Penutup dan Malam Kesenian Festival Antarabangsa Masyarakat Peranakan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Roslan Abdul Rahman

Selain kebaya, turut diperkenalkan pada hari berkenaan ialah masakan serta warisan lain masyarakat Peranakan dalam memperkasa seni, warisan dan budaya di Melaka.

Pada 26 Nov lalu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan mengetengahkan keunikan budaya dan warisan pelbagai etnik di Melaka seperti masyarakat Baba dan Nyonya serta Chetti dalam mempromosi TMM2024.

Dianggarkan 15,000 pengunjung dan rakyat Negeri Melaka bakal memeriahkan pelancaran TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu 2024, 31 Disember ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN