fb fb fb fb fb

TMM2.0 akan dilancar pada 31 Disember

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) meluangkan masa melawat sekitar taman tema pada majlis Perasmian Taman Tema Snow World di Melaka Mall, hari ini/BERNAMA

AYER KEROH, 17 April- Melaka bakal melancarkan Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0) pada 31 Disember depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia bersempena dengan tiga acara besar pelancongan tahun ini dan tahun depan.

Katanya, lokasi pelancaran masih belum diputuskan dan pelbagai acara dan program menarik ditelah dirancang bagi merancakkan lagi kempen berkenaan.

"Kita akan melancarkan versi baru dan bersempena dengan pelancaran Tahun Melawat Melaka yang akan dilancarkan di Melaka bersempena dengan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC2025) dan tuan rumah Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025) yang mana kita akan didatangi delegasi dari seluruh dunia," kata Ab Rauf.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Taman Tema Snow World dan menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Melaka Mall.

Sementara itu, Ab Rauf berkata Taman Tema Snow World menjadi lokasi pelancongan terbaharu di Melaka yang dijangka menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.

Taman tema berkenaan berkonsepkan produk pelancongan ikonik di Melaka seperti Jonker Walk, Bandar Hilir dan sebagainya yang menjadi mercu tanda negeri bersejarah itu.

Dalam pada itu, harga tiket Zoo Melaka telah diturunkan daripada RM45 kepada RM39.10 bagi dewasa bermula Januari hingga Disember depan.

Bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pula dikurangkan daripada RM36.70 sen kepada hanya RM19.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata langkah itu dibuat bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Zoo Melaka.

"Kita sebenarnya bukan pasal penurunan, kerana kita mahu menggalakkan pelancong masuk ke Zoo Melaka. Sebenarnya kita hendak meramaikan kedatangan pelancong untuk ke Zoo Melaka.

"Harga baru kita kita bermula Januari hingga Disember ini la, sempena WTD2025 dan WTC2025," kata Sapiah.

Dalam perkembangan lain, pihaknya akan menganjurkan pertandingan menamakan anak citah yang baru 50 hari lahir di zoo berkenaan dalam masa terdekat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM