fb fb fb fb fb

TMM 2024: Melaka tambah kekerapan pendaratan feri di jeti ICQS

(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf mengadakan lawatan kerja di ICQS Melaka hari ini)

MELAKA, 8 September- Kerajaan negeri akan menambah frekuensi jadual perjalanan dan kekerapan feri mendarat di jeti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka, mulai tahun hadapan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia adalah sebahagian kaedah untuk menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia terutama pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Menurutnya, kekerapan jadual kemasukan feri akan ditambah kepada empat kali sehari.

"Kekerapan jadual sekarang ialah dua kali sehari namun kapasiti jeti ini boleh menerima empat kali pendaratan feri sehari, bergantung kepada pasang surut air laut.

"Jadi dalam kempen kita nanti, kita akan tambah kekerapan bagi menggalakkan sebanyak mungkin feri penumpang masuk ke jeti ini dan kita juga akan susun jadual dengan baik," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di ICQS Melaka hari ini. 

Sementara itu, beliau turut mengulas perancangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam selepas operasi penerbangan pesawat komersial di situ dihentikan.

“Ia merupakan satu keputusan komersil tiada kena mengena dengan kerajaan negeri. Sebab jumlah penumpang untuk datang ke Melaka amat berkurangan kerana faktor itulah kebanyakan syarikat-syarikat penerbangan tidak berminat untuk meneruskan operasi di Lapangan Terbang Batu Berendam.

"Maka kita bercadang mengubah status LTAM sebagai hab operasi penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih helikopter dan pesawat ringan," katanya.


(FOTO HIASAN)

Media Baharu