fb fb fb fb fb

TMM 2024 jadi kayu pengukur program pelancongan di seluruh negara.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman

MELAKA, 11 Mei- Kerancakkan promosi Tahun Melawat Melaka (TMM 2024) memberi inspirasi kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) untuk melakukan persiapan sempena Hari Pelancongan Dunia (WTD) 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, kepelbagaian dan kemeriahan program pada TMM 2024 boleh dijadikan sebagai kayu pengukur untuk program pelancongan di seluruh negara.

Katanya setakat ini Melaka dilihat mendahului dalam sambutan Tahun Melawat Negeri yang melibatkan Perlis, Perak dan Kelantan sepanjang tahun ini.

"Berbanding negeri lain, Melaka terus ke depan dan dapat dilihat sambutan di Melaka sangat mengujakan termasuk rakyat negeri ini pada setiap bulan, mereka mengambil bahagian dalam pelbagai program dianjurkan sempena TMM2024.

"Kita harap ia diteruskan dengan apa dirancang dan MOTAC akan terus membantu terutama kita mempunyai MOTAC di Melaka yang sangat aktif," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Sambutan Kapal Layar Tradisional China Terbesar Dunia ‘Fu Ning’ di Pelabuhan Tanjung Bruas, Tanjung Kling di sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, pemilik kapal layar Fu Ning Lin Chang Jiu dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Razak Abdul Rahman.

Mengulas mengenai sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia – China yang akan diadakan di Melaka, pelbagai program sedang dirangka MOTAC untuk memeriahkan sambutan tersebut.

"Kita akan adakan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia di Melaka, yang juga sambutan TMM2024. Jadi kita boleh adakan juga perayaan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara ini yang terjalin sekian lama.

"Malah kapal layar Fu Ning ini juga adalah satu daripada yang kita akan paparkan untuk bukan saja buat penduduk di Melaka tetapi rakyat Malaysia. Ia adalah simbolik kepada hubungan diplomatik berkenaan," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI