fb fb fb fb fb

TMK 2025: Semua jabatan, agensi perlu sedia terima pelancong - Sultan Kedah

Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 30 Jun- Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menitahkan semua jabatan dan agensi berkaitan perlu bersedia menerima kehadiran pelancong bersempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

Mereka juga perlu memastikan semua kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan pelancongan berada dalam keadaan lengkap dan sempurna.
 
Baginda bertitah, ia bagi meletakkan Kedah sebagai destinasi pelancongan unggul dan lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
 
"Bagi memastikan inisiatif kerajaan ini dapat direalisasikan dengan jayanya, aspek kebersihan dan keindahan perlu sentiasa berada pada tahap terbaik, serta menjadi agenda penting setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), sepanjang kempen TMK 2025," titah Sultan Kedah pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang Ke-82 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, di sini.
 
Baginda turut menyokong langkah proaktif yang digerakkan Menteri Besar Kedah yang menyasarkan Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau pelancongan yang terbersih di dunia.
 
Manakala PBT juga perlu memastikan kebersihan dan keindahan persekitarannya dijaga dan dipantau dengan lebih efisien agar menjadi sebuah bandar bersih.
 
Baginda turut menyarankan agar kerajaan negeri dapat memupuk budaya hidup sihat serta persekitaran bersih bagi menjamin kesejahteraan serta kesihatan kepada seluruh rakyat negeri Kedah.

Dalam pada itu, Sultan Kedah turut menghargai keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu kemiskinan tegar di Kedah.

Baginda bertitah, sehingga kini, jumlah miskin tegar di Kedah berjaya dikurangkan sebanyak 77 peratus kepada 404 keluarga berbanding 1,750 keluarga sebelum ini.

Baginda berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian segera kepada senarai projek pembangunan di negeri berkenaan seperti dibentangkan pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah, 4 Mei lalu.

"Oleh itu, insentif fiskal ini dilihat dapat mengimbangi hasil dan perbelanjaan Kedah pada masa hadapan terutama bagi membangunkan bidang sosioekonomi.

"Beta begitu mengharapkan keprihatinan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan permintaan insentif fiskal sebanyak RM200 juta kepada kerajaan Kedah.

"Ia merupakan satu mekanisme timbal balik, bila mana kerajaan beta perlu mengekalkan 113,000 hektar kawasan penanaman padi yang menyumbang 43 peratus Tahap Sara Diri negara," titah baginda.

Titah baginda lagi, menerusi insentif fiskal juga, program bantuan golongan miskin dapat disediakan termasuk peluang perniagaan, dan bantuan pendidikan.

Sementara itu, Anwar merafak sembah serta ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah yang ke-82.

"Patik mendoakan ke hadrat Allah SWT semoga Tuanku Sultan dan Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

"Semoga Duli Tuanku kekal qarar memerintah rakyat Kedah Darul Aman dengan adil dan saksama," kata Anwar menerusi perkongsian di platform Facebook.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM