fb fb fb fb fb

TLDM lantik syarikat swasta lakukan operasi salvaj KD Pendekar

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin / Foto Bernama

KLUANG, 30 Ogos - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan melantik syarikat swasta bagi meneruskan operasi salvaj Kapal Diraja (KD) Pendekar yang tenggelam di Perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi, Johor, pada 25 Ogos lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata TLDM akan memastikan peralatan dan maklumat sensitif berkaitan aset tersebut berada dalam keadaan selamat sebelum menyerahkan operasi tersebut kepada syarikat swasta.

"Mungkin insiden yang berlaku itu adalah sebahagian daripada usaha awal untuk mengenal pasti, menyiasat, dan memastikan peralatan serta maklumat sensitif dalam keadaan selamat serta tidak hilang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program e-Perkasa SPM di Kem Mahkota, di sini.

Terdahulu, KD Pendekar dilaporkan tenggelam selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air di dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Kota Tinggi, Johor, pada 25 Ogos lalu.

Dalam kejadian terbaharu, seorang anggota penyelam TLDM disahkan meninggal dunia ketika melaksanakan operasi salvaj untuk menyelamatkan bangkai KD Pendekar yang karam.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN