fb fb fb fb fb

Jangan duduk diam, selesaikan isu banjir Sibu kata King Sing

Tiong King Sing meredah banjir di sekitar Salim-Stabau selepas hujan berterusan disertai fenomena pasang besar

SIBU, 24 Ogos - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, menyatakan rasa kecewa terhadap situasi banjir di Sibu yang semakin memburuk dan seolah-olah masih tiada penyelesaian sehingga kini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata meskipun telah banyak aduan dilakukan namun beliau mendakwa sehingga kini tiada tindakan dari pihak berwajib.

Beliau menegaskan bahawa masalah tersebut perlu perhatian serius serta tindakan pantas untuk penyelesaian jangka panjang.

"Sukar untuk saya bayangkan betapa bahaya dan menakutkan situasi ini buat penduduk terutama bagi golongan kanak-kanak, warga emas serta wanita.

"Saya telah menekankan beberapa kali bahawa adalah penting bagi menjalankan kerja-kerja mengorek serta mendalamkan dasar sungai supaya aliran air lancar agar dapat menangani peningkatan mendadak paras sungai.

"Apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah kenapa sesetengah pihak seakan-akan hanya mampu melihat sahaja tanpa berbuat apa-apa dan berpura-pura tiada apa-apa yang berlaku.

"Jangan hanya duduk dalam bilik berhawa dingin dan berharap masalah ini akan selesai dengan sendirinya.

"Namun, pihak berkuasa yang berkaitan masih buat tidak peduli, seolah-olah percaya bahawa masalah ini akan selesai dengan ajaibnya tanpa bertindak" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu. 

Tiong berkata walaupun paras air di sekitar Salim-Stabau mencapai paras dada namun beliau tekad meredah air untuk memastikan penduduk terjejas banjir tidak mengalami kekurangan bekalan makanan akibat banjir.

Beliau menyeru semua ketua jabatan dan pembuat keputusan, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, serta agensi-agensi lain yang berkaitan untuk mengambil serius penderitaan rakyat.

Katanya tindakan segera perlu diambil untuk mengkaji semula sistem kawalan banjir dan menangani punca utama masalah banjir kilat dengan cara yang paling berkesan.

Beliau turut mengingatkan bahawa semua pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Kepada mereka yang berkuasa, ingatlah (bahawa) kita semua bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan melaksanakan tugas kita, jadi tolong lakukan kerja anda dengan sebaiknya," katanya.

Cuaca hujan berpanjangan yang disertai fenomena pasang besar telah menyebabkan beberapa kawasan di Sibu mengalami banjir kilat sejak dua hari lalu.

Kejadian tersebut menyebabkan genangan air di beberapa bahagian sepanjang tebing Sungai Rejang dan kawasan sekitar, termasuk Jalan Khoo Peng Loong.

GRACE AISYAH KEDAYAN