
PUTRAJAYA, 20 Januari -Kerajaan memutuskan Tingkatan Enam dan Matrikulasi distrukturkan semula sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi negara.
- Tingkatan Enam dan Matrikulasi distruktur semula di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, mewujudkan ekosistem prauniversiti baru.
- Penekanan pada RPTM untuk sistem lebih luas, fleksibel dan adaptif termasuk pengembangan pembelajaran bukan berasaskan kampus fizikal.
- Peningkatan politeknik ke peringkat ijazah dan pengiktirafan setara bagi laluan TVET serta pengecualian yuran untuk OKU.
Langkah itu sekali gus mewujudkan ekosistem prauniversiti bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, penstrukturan itu menuntut perubahan dasar serta pindaan undang-undang kerana kedua-dua laluan berkenaan sebelum ini berada bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
“KPT telah mengarahkan bahagian undang-undang meneliti peruntukan akta berkaitan bagi membolehkan pemindahan itu dilaksanakan, dengan sasaran pindaan dapat diselesaikan tahun ini.
Penstrukturan tersebut menandakan perubahan besar hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) ke arah sistem yang lebih luas, fleksibel dan adaptif, tidak lagi tertumpu sepenuhnya kepada pembelajaran berasaskan kampus fizikal, katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, 10 politeknik akan dinaik taraf untuk menawarkan program ijazah, khususnya dalam bidang kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh baharu.
Langkah itu bertujuan menjadikan politeknik sebagai pilihan utama pendidikan teknikal, bukan sekadar laluan alternatif kepada universiti.
RPTM turut memberi penekanan kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) peringkat tinggi dengan pengiktirafan setara antara laluan kemahiran dan akademik.
Bagi golongan orang kurang upaya (OKU), kerajaan memutuskan pengecualian yuran pengajian di semua institusi pengajian tinggi awam, politeknik dan kolej komuniti, dengan kos ditanggung oleh institusi masing-masing.
Mengulas kesinambungan sistem pendidikan, Datuk Seri Dr. Zambry berkata, RPTM tersebut merupakan pelan pertama yang menyatukan perancangan pendidikan sekolah dan pendidikan tinggi.
“Ini kali pertama perancangan kedua-dua kementerian pendidikan digerakkan seiring bagi memastikan laluan pembelajaran pelajar lebih tersusun dari peringkat sekolah hingga ke pengajian tinggi,” katanya lagi.