
PUTRAJAYA, 31 Januari – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata penstrukturan semula Tingkatan Enam dan program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masih memerlukan beberapa keperluan perundangan diselesaikan sebelum pelaksanaannya dimuktamadkan.
- Penstrukturan semula Tingkatan Enam dan matrikulasi dipindahkan ke bawah KPT tetapi perlaksanaan masih berperingkat.
- Perlu semakan dan pindaan akta sedia ada di bawah KPT untuk memasukkan semula kedua-dua program.
- Kerajaan akan melaksanakan pindaan perundangan secara teliti dan berfasa sebelum pengumuman rasmi.
- Kerajaan jamin tiada gangguan kepada proses pendidikan semasa tempoh peralihan.
Beliau berkata, keputusan meletakkan Tingkatan Enam dan matrikulasi di bawah KPT telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaras dengan peluncuran Pelan Tindakan Pelan Pendidikan Tinggi, namun pelaksanaan perlu dibuat secara berperingkat.
”Antara keperluan utama ialah menyemak dan meminda akta sedia ada di bawah KPT bagi memasukkan semula Tingkatan Enam dan matrikulasi, memandangkan sebelum ini kedua-duanya berada di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya ketika menjawab soalan pemberita.
Menurut Dr Zambry, kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah tersebut secara teliti dan berfasa, termasuk pindaan peruntukan perundangan yang berkaitan, sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat mengenai tarikh dan kaedah pelaksanaan.
Mengulas kebimbangan kemungkinan gangguan terhadap proses pendidikan semasa tempoh peralihan, beliau menegaskan perkara itu tidak akan berlaku.
”Kerajaan mengambil kira semua aspek sebelum membuat keputusan muktamad. Kita tidak boleh melaksanakannya secara tergesa-gesa.
”Sebab itu beberapa langkah perlu disiapkan terlebih dahulu dan perkara ini juga telah dibentangkan serta dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.