fb fb fb fb fb

Tingkat peranan orang asli dan veteran beruniform

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Peranan orang asli dan veteran beruniform akan ditingkatkan dalam menjaga hutan simpan kekal, dengan pelantikan 2,500 renjer komuniti, meningkat daripada 2,000 orang, melalui peruntukan sebanyak RM80 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, bagi menangani masalah pencemaran sungai, kerajaan akan melaksanakan Projek Pembersihan Sungai Bersama Komuniti di beberapa sungai yang tercemar seperti Sungai Anak Bukit di Kedah, Sungai Pegalan di Sabah, dan Sungai Etanak di Sarawak.

Program itu akan dilaksanakan bawah Program Denai Sungai Kebangsaan dengan peruntukan RM10 juta.

Kerajaan juga akan menaik taraf loji rawatan kumbahan sedia ada serta membina rangkaian paip pembentungan di Sungai Kim Kim, Johor, bagi mengekang pencemaran air.

Anwar turut mengumumkan peningkatan Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada RM250 juta berbanding RM 200 juta sebelum ini bagi menyokong usaha melindungi hutan dan hidupan liar.

"Kriteria pengagihan EFT ditetapkan semula iaitu 50 peratus peruntukan yang diagihkan tertakluk kepada prestasi perbelanjaan kerajaan negeri, berbanding 30 peratus pada masa ini," kata Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Parlimen.

TETITIA YUSOFF