SEPANG, 26 Mac - Individu yang didapati memalsukan keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen dalam aplikasi MySejahtera boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata tindakan individu yang melaporkan keputusan saringan COVID-19 yang palsu merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
"Majikan boleh melaporkan kepada KKM sekiranya mendapati pekerjanya melaporkan keputusan COVID-19 yang palsu.
"Sudah tentu kalau majikan nak semak, mungkin kalau dia (pekerja) nak tipu, nasib dia tak baik majikan suruh buat RTK profesional, dia ‘kantoi’. Kita boleh ambil tindakan undang-undang. Jadi jangan sampai kita terpaksa ambil tindakan undang-undang kerana salah lapor dalam MySejahtera yang menjadi kesalahan," katanya selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
(Khairy Jamaluddin merayu rakyat Malaysia bersikap jujur dalam keputusan COVID-19/FOTO Facebook Khairy Jamaluddin)
Menurutnya, kerajaan membenarkan masyarakat melaporkan ujian kendiri COVID-19 dalam MySejahtera tanpa memerlukan mereka membuat saringan profesional, sebagai persediaan memasuki fasa peralihan ke endemik.
"Bila kita masuk fasa peralihan (endemik), kita kena banyak bergantung kepada solidariti komuniti dan kebertanggungjawaban individu. Ini takkan semua benda kerajaan nak periksa, kuat kuasa dan denda.
"Jadi saya merayu kepada rakyat Malaysia bila kita dah bagi tanggungjawab kepada anda untuk buat ujian kendiri mestilah jujur, jangan semata-mata nak ponteng kerja pergi melaporkan keputusan positif yang palsu," katanya.