KUALA LUMPUR, 7 Mei - Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam isu serangan dua pemain bola sepak tempatan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kepercayaan dan ruang perlu diberikan kepada pihak polis untuk menjalankan tugas.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima kandungan yang dimuat naik dalam media sosial oleh segelintir individu yang menyasarkan beberapa pemain bola sepak juga antara faktor yang menimbulkan kebencian.
"Saya gesa supaya dihentikan itu tidak baik sebab dunia bola sepak negara kecil, keutamaan meningkatkan prestasi, mewujudkan keadaan kondusif, naikkan kedudukan kita, sukan yang amat popular. Tetapi dua insiden ini sangat menyedihkan.
"Saya ulang komitmen pasukan polis dan keupayaan kita ada kita lakukan apa sahaja untuk mengesan dan menangkap penyerang membawa mereka ke muka pengadilan," kata Saifuddin kepada pemberita selepas sesi Seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Dadah di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Tambahnya, pemilik akaun yang membuat serangan itu akan dikesan pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Beliau turut memberi jaminan keselamatan dan keamanan kesemua pemain bola sepak tempatan terkawal dan mereka perlu terus memberi tumpuan dalam karier mereka.