fb fb fb fb fb

Tindakan PM guna Bahasa Melayu pada sidang media antarabangsa contoh terbaik

KUALA LUMPUR, 1 Mac- Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggunakan Bahasa Melayu dalam sidang media bersama pemimpin Brunei, Kemboja dan Thailand baru-baru ini dilihat sebagai contoh terbaik dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. 

Seramai 10 Ketua UMNO Bahagian dalam kenyataan bersama berkata pemimpin tidak perlu malu untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam menyampaikan ucaptama pada program bertaraf antarabangsa.

Bahkan menurut kenyataan itu, tindakan tersebut sekali gus memartabatkan Bahasa Melayu di persada yang lebih luas terutama rantau ASEAN.

Katanya, ia sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Kami yakin kita tidak akan terkebelakang sekiranya kita menggunakan bahasa kebangsaan apabila berada di pentas antarabangsa malahan akan lebih berbangga sebagaimana negara lain yang sentiasa menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sesuatu program yang melibatkan dunia luar.

“Malaysia harus berperanan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai lingua franca kepada kelompok ASEAN yang terdiri daripada 10 negara.

"Ia merangkumi Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Filipina, Myanmar dan Thailand,” menurut kenyataan itu yang turut disokong oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya. 

Menurut kenyataan itu, berdasarkan perkembangan yang diteladani oleh Perdana Menteri, pentas antarabangsa adalah platform terbaik untuk memaparkan bahasa digunakan dalam negara dan sudah tiba masanya untuk Bahasa Melayu digunakan di pentas antarabangsa. 

“Sejarah The Malay Archipelago telah membuktikan Bahasa Melayu merupakan bahasa yang dipertutur dalam ratusan tahun yang lalu di Kepulauan Melayu ini dengan menggunakan resam tulisan jawi dalam aktiviti bahasa, budaya, agama, pendidikan, pentadbiran dan aktiviti ekonomi,” katanya.

Kenyataan itu juga menggalakkan semua peringkat masyarakat dalam negara sama ada kerajaan atau swasta agar menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disambut Timbalan Perdana Menteri Thailand yang juga Menteri Luar, Don Pramudwinai ketika tiba bagi lawatan rasmi ke Bangkok Thailand di Lapangan Terbang Tentera Don Muang/BERNAMA)


Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar, Datuk Mohd Yusof Ismail (Alor Setar),  Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (Permatang Pauh) dan Datuk Azhar Ahmad (Beruas).

Selain itu, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Bukit Katil), Datuk Zaluzi Sulaiman (Pengkalan Chepa), Datuk Ismail Lassim (Kuala Pilah), Datuk Zurihan Yusop (Kuala Langat),  Datuk Zakaria Dullah (Simpang Renggam), Jeffery Nor Mohamed (Putatan) dan Fathul Bari. 

Media Baharu