fb fb fb fb fb

Tindakan pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru ikut undang-undang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa/ Facebook Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 11 September - Kerajaan menegaskan segala tindakan berkaitan isu pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru dilaksanakan mengikut proses undang-undang dan keputusan mahkamah, bukan secara sewenang-wenangnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya komited memastikan semua keputusan dibuat berlandaskan peraturan, selain terus membuka ruang dialog dengan penduduk dan peniaga bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Keputusan itu adalah keputusan mahkamah. Bukan kita buat keputusan sendiri-sendiri, tidak. Ia melalui mahkamah. Jadi apabila telah melalui mahkamah, ada keputusan seperti itu dan dia perlu dilaksanakan.

"Jadi kita tidak boleh menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugasan mereka", katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Malaysia Sarong Music Run, di sini.

Menurut beliau, majoriti penduduk di kawasan terbabit telah bersetuju dengan pembangunan semula yang dirancang dan telah menunggu lebih lapan tahun untuk melihat pelaksanaannya.

Katanya, kerajaan akan terus berjumpa komuniti setempat melalui sesi dialog bersama kepimpinan tempatan bagi mendengar pandangan mereka secara langsung.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa kesal dengan insiden tegang yang berlaku pagi tadi walaupun pasukan keselamatan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), sudah ditempatkan untuk mengawal keadaan.

“Bagi saya yang penting kita selesaikan masalah. Jadi untuk selesaikan masalah, kita perlu tengok kepada semua pihaklah dan pihak yang telah menerima untuk bersetuju dengan pembangunan itu adalah yang majoriti", katanya.

ROSLINA BINTI DIN