fb fb fb fb fb

Tindakan PDRM berdasarkan tatacara dan peraturan

KUALA LUMPUR, 18 September- Mana-mana individu yang melakukan kesalahan membabitkan isu 3R (raja, bangsa, agama) dan dikenakan tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah berdasarkan tatacara dan peraturan yang termaktub, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMKe-12)Shamsul Anuar berkata tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang mengeksplotasi isu tersebut tanpa mengira latar belakang, status atau kedudukan.

"Apa sahaja keputusan dan tindakan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai tatacara dan peraturan yang termaktub dalam undang-undang sedia ada.

"Kita sentiasa komited dan mendukung hak kebebasan bersuara seperti yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan selagi ia mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan. Jadi mana-mana pihak perlu mematuhi peraturan yang ada," beliau menjawab ketika Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mencelah berkenaan cadangan supaya PDRM menahan pihak yang mempermain isu 3R.

Shamsul Anuar berkata kesalahan melibatkan isu tersebut dinyatakan dengan jelas dan termaktub dalam Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu ketika menjawab soalan mengenai parameter berkaitan kesalahan melibatkan isu 3R yang dibangkitkan oleh Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) dan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) beliau menjelaskan kerajaan dan PDRM terbuka serta bersedia memberi penjelasan mengenai perkara itu sekiranya pihak pembangkang mahukan maklumat lanjut.

Shamsul Anuar juga berkata KDN sedang melaksanakan kajian bagi membangunkan sistem kawalan sempadan negara yang dilengkapi sistem pengawasan terkini dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ia bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses pintar, kemudahan penyebaran serta pengawasan sepanjang masa bagi melindungi sempadan darat dan maritim.

(Foto hiasan)

Media Baharu