fb fb fb fb fb

Tindakan Muhyiddin perlekeh keputusan Speaker diselar

Enam bekas ahli Parlimen Bersatu yang dipecat daripada parti itu kini menjadi ahli Parlimen bebas

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Enam ahli Parlimen bebas yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperlekehkan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul susulan memutuskan kesemua bekas ahli Bersatu itu kekal sebagai wakil rakyat.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman menegaskan mereka tidak melompat parti dan melanggar apa-apa syarat yang disebut dalam Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Kami akan terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen bebas. Yang menjadikan kami ahli Parlimen bebas adalah Perikatan Nasional (PN) daripada blok pembangkang.

"Jadi kedudukan kami dalam Dewan terletak di tangan Speaker. Status kami sebagai ahli parlimen bebas adalah disebabkan oleh PN," katanya yang mengetuai sidang media di Parlimen hari ini.

Suhaili turut menyeru agar semua pimpinan tertinggi berganding bahu dalam menstabilkan politik dan memulihkan ekonomi negara.

"Kami menyanjung dan mendukung tujuan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan diwujudkan untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara daripada terus berhadapan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan," katanya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menegaskan alasan dikemukakan Johari dangkal dan tafsiran dibuat songsang, sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.

Enam ahli Parlimen terbabit adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Suhaili (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

SITI AISHAH MD ISA