
KEMAMAN, 12 Januari – Orang ramai yang berkunjung ke Pantai Rekreasi Teluk Kalong di sini menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah timbunan arang batu yang dihanyutkan ombak di sepanjang pantai berkenaan.
- Timbunan arang batu menghanyut sepanjang hampir dua kilometer pantai, menyebabkan kawasan rekreasi kelihatan tercemar.
- Kejadian dipercayai berpunca daripada tongkang muatan arang batu rosak dan hanyut ketika laut bergelora.
- Pengunjung bimbang mengenai risiko kesihatan dan keselamatan, terutamanya kepada kanak-kanak yang bermain di pantai.
- JAS Terengganu akan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk pembersihan; berkata bahan itu bukan buangan terjadual dan tidak beri ancaman serius.
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan keindahan pantai peranginan tersebut, malah turut menimbulkan kebimbangan pengunjung terhadap kemungkinan kesan negatif terhadap kesihatan, khususnya kepada kanak-kanak.
Difahamkan, kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada sebuah tongkang yang membawa muatan arang batu mengalami kerosakan sebelum dihanyutkan ombak dan melanggar kawasan berbatu sejak kira-kira seminggu lalu ketika keadaan laut bergelora.
Hasil tinjauan mendapati hampir sepanjang dua kilometer pantai tersebut dipenuhi timbunan mineral arang batu, sekali gus menyebabkan kawasan rekreasi itu kelihatan tercemar.
Seorang pengunjung, Wan Nor Shahida Wan Zainuddin berkata, keadaan itu berbahaya terutama kepada kanak-kanak yang bermain di kawasan pantai.
“Bahaya kalau budak-budak main di situ. Ibu bapa perlu pantau anak-anak kerana kawasan ini sangat tercemar. Sebelum ini pantai ini bersih dan tidak pernah berlaku keadaan seperti ini,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Fauzilah Mat Noh turut melahirkan kebimbangan terhadap tahap pencemaran laut akibat kejadian tersebut.
“Kami bimbang dengan pencemaran ini kerana bila ombak besar, bahan itu boleh merebak ke kawasan lain. Pengunjung juga tidak boleh mandi atau bermain air, sedangkan biasanya pantai ini penuh dengan orang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Hamzah Mohmad berkata, mineral arang batu berkenaan bukanlah bahan buangan terjadual dan tidak mendatangkan risiko besar kepada alam sekitar.
Menurutnya, JAS telah mengadakan perbincangan dan akan bekerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia serta beberapa pihak berkaitan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai berkenaan dalam masa terdekat.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana situasi ini tidak mendatangkan ancaman serius kepada alam sekitar,” katanya ketika dihubungi.