fb fb fb fb fb

Timbalan Menteri Luar adakan lawatan kerja ke The Hague dari 15-16 Februari

(The Hague / FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 15 Februari- Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin akan mengadakan lawatan kerja ke The Hague, Belanda dari 15 hingga 16 Februari 2023.

Ia merupakan lawatan kerja sulung ke luar negara oleh Datuk Mohamad Alamin sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri pada 9 Disember 2022.

Menerusi satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan semasa lawatan itu, Datuk Mohamad Alamin akan mewakili Menteri Luar pada Segmen Peringkat Menteri pada Sidang Kemuncak Responsible Artificial Intelligence (AI) in the Military Domain (REAIM 2023) di Pusat Konvensyen Forum Dunia di The Hague.

"Kerajaan Belanda akan menjadi tuan rumah bersama REAIM 2023 dengan Kerajaan Republik Korea. Persidangan itu akan menyediakan platform untuk pelbagai pihak berkepentingan termasuk negara-negara seperti Malaysia untuk membincangkan dan berkongsi pandangan mereka mengenai isu-isu yang berkaitan dengan aplikasi Al dalam bidang ketenteraan,"menurut kenyataan tersebut.

Timbalan Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Paul Huijts, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Belanda. Selain itu, beliau dijadual bertemu pegawai dari Kedutaan Malaysia serta diaspora Malaysia di The Hague.

Lawatan Timbalan Menteri Luar ke Belanda akan memberi peluang yang baik kepada Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin dengan Belanda serta meneroka bidang kerjasama baharu yang mempunyai kepentingan bersama.

Pada 2022, Belanda merupakan rakan dagangan ke-14 terbesar Malaysia dan rakan dagangan kedua terbesar dalam Kesatuan Eropah (EU).

Jumlah dagangan dengan Belanda berjumlah RM48.04 bilion (USD10.93 bilion), meningkat 33.4% berbanding 2021.


(Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin)

Media Baharu