LANGKAWI, 27 Mac- Jelajah Ramadan RTM singgah di pulau peranginan Langkawi hari ini.
Tahun ini, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) menjadi pilihan lokasi stesen radio daerah itu untuk Jelajah Ramadan kali ke-12.
Pusat aktiviti yang bergiat aktif di Pekan Kuah sejak enam tahun yang lalu itu teruja apabila diberi peluang untuk menyertai program bersama LANGKAWIfm buat julung kalinya.
"Kita rasa bangga sebab LANGKAWIfm pilih kita dan ini pertama kali kita dapat jalankan aktiviti yang macam ni bersama RTM dan kita dapat kenal DJ RTM dan juga pernerbit-penerbit program.
"Seronok, ada macam-macam aktiviti buat cucur, buat bubur kacang, harap tahun depan kita kerjasama lagi,"katanya
Inisiatif Radio di Lokasi yang diambil LANGKAWIfm itu tidak lain tidak bukan untuk terus mendekati masyarakat setempat.
"Kita akan cuba memberikan yang terbaik dengan aktiviti Radio DI Lokasi sebegini dan in shaa Allah kita akan muncul lagi dengan pelbagai lagi perkongsian dengan masyarakat di Langkawi sendiri,"kata Murad Mohamad Safie, Ketua Bahagian Rancangan LANGKAWIfm.
Sebanyak 600 bekas bubur kacang hijau dan cucur jagung udang dimasak secara bergotong royong di pusat itu dan akan diagihkan kepada pengguna jalanraya di Dataran MarMar, Pekan Kuah.