KUALA LUMPUR, 7 Jun- Pemilik TikTok, ByteDance, merancang untuk menjadikan Malaysia hab kecerdasan buatan (AI) di rantau Asia dengan nilai pelaburan berjumlah RM10 bilion sekali gus meningkatkan pelaburan di negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi hantaran di Facebook berkata, perkara itu hasil pertemuan bersama-sama Naib Presiden TikTok Helena Lersch di Singapura.
"Setakat ini, TikTok melalui ByteDance System telah membangunkan pusat data di Sedenak Tech Park, Kulai, Johor. Mengambilkira keperluan masa depan, Bytedance berhasrat untuk mengembangkan fasiliti pusat datanya dengan pelaburan tambahan RM1.5 bilion.
"Bukan itu sahaja, ByteDance juga merancang untuk melabur dalam AI dan menjadikan Malaysia sebagai hab AI bagi rantau ini dengan cadangan pelaburan kira-kira RM10 bilion," katanya.
Pelaburan tambahan itu dilihat membantu Malaysia mencapai sasaran untuk mengembangkan ekonomi digital kepada 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025.