KUALA LUMPUR, 17 Februari- Satu mekanisme tambahan perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya media sosial kepada kanak-kanak bawah umur 13 tahun.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, masih ramai golongan itu memiliki akaun media sosial walaupun syarat tertentu telah ditetapkan penyedia perkhidmatan tersebut.
Sehubungan itu, kerjasama daripada semua platform media sosial adalah perlu bagi memastikan kandungan disediakan sesuai dengan umur dan tahap tumbesaran mereka.
"Alhamdulillah, dalam pertemuan saya dengan pihak TikTok minggu lalu, mereka (beritahu) sedia untuk bersama dalam usaha ini sebagai langkah CSR (tanggungjawab sosial korporat).
"Kita (juga) akan adakan pertemuan dengan Facebook, Instagram dan beberapa platform lain untuk pastikan mereka bersama dalam usaha ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Parlimen Lembah Pantai di sini.
Tambah beliau, usaha tersebut juga penting bagi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah seperti penipuan dalam talian.
"Bukan sekadar kandungan (yang dibimbangkan) tetapi kita risau kalau ada aspek-aspek (lain), contoh scam (penipuan)
"Jadi kita tak nak anak-anak kita terlibat atau menjadi mangsa kepada masalah dan jenayah ini," katanya.
Kerjasama semua platform media sosial bersama kementeriannya dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut direncana bagi meningkatkan kesedaran, sekaligus memantau penggunaan aplikasi itu dalam kalangan pelajar.