fb fb fb fb fb

TikTok akan terus dipantau - Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

DENGKIL, 27 Oktober- Kerajaan Malaysia akan terus memantau platform media sosial TikTok.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun pihak TikTok menafikan isu menyekat kandungan pro-Palestin, namun Malaysia akan terus melakukan pemantauan.

"Mereka menafikan tetapi kita kena teruskan pemantauan," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat dan makan tengah hari di sini.

Terdahulu, jurucakap TikTok dalam e-mel kepada Reuters menafikan tuduhan kerajaan Malaysia bahawa menyekat kandungan pro-Palestin dan menyifatkannya sebagai 'tidak berasas'.

Malaysia juga turut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap firma media sosial TikTok dan Meta atas dakwaan platform berkenaan mengehadkan kandungan yang menyokong perjuangan Palestin.

Dalam pada itu, Anwar mengulas dakwaan bahawa monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam pengimportan beras merupakan antara faktor pengguna tidak mampu mendapatkan bekalan beras.

Katanya, pengimportan beras di negara ini adalah terkawal dan mengikut harga pasaran antarabangsa.

"Saya tidak dapat pastikan, tetapi soal monopoli Bernas ini telah diputus dahulu yang ditandatangani untuk 10 tahun. Jadi kita kena runding. Setakat ini kita dapat pastikan bahawa beras import Bernas itu memang terkawal ikut harga antarabangsa, tetapi kita boleh teliti," kata Anwar.

 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM