SERIAN, 5 September - Tiga maut manakala empat lagi cedera ringan selepas terlibat kemalangan di Kilometer 219.5, Jalan Pan Borneo, berhampiran Engsebang Kuari, Balai Ringin, tengah hari tadi.
Nahas membabitkan pacuan empat roda itu tidak melibatkan kenderaan lain.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan dan mengerahkan tujuh anggota bersama sebuah FRT dan jentera perubatan dari Balai Serian ke lokasi kejadian.
Mangsa, Paula Janting, 43 tahun dan Janting Pangau, 75 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi mangsa, Senin Beriak, 65 tahun, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
Pasukan perubatan memberikan rawatan awal sebelum membawa mangsa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Operasi turut dibantu enam anggota polis dan 12 anggota Kementerian Kesihatan (KKM).