
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Panglima Angkatan Tentera ke-24, Datuk Malek Razak Sulaiman, menggariskan tiga teras utama dan tujuh tonggak strategik dalam Perintah Ulung beliau hari ini bagi memperkukuh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghadapi cabaran semasa serta masa hadapan.
- Memperkukuh akhlak anggota sebagai asas pembentukan sahsiah, integriti dan profesionalisme ATM.
- Menguatkan tadbir urus, integriti dan kecekapan pengurusan untuk tata kelola organisasi yang tuntas.
- Meningkatkan kesiapsiagaan melalui struktur organisasi mantap, logistik cekap dan perancangan strategik jelas.
Menurut beliau, tiga teras utama yang menjadi tunjang kepimpinan ATM ialah akhlak, tatkala tuntas dan martabat.
Ketiga-tiga teras itu disifatkan asas penting dalam membentuk sebuah angkatan yang berintegriti, profesional dan disegani.
“Akhlak menjadi asas pembinaan sahsiah dan jati diri warga ATM. Tatkala tuntas pula menekankan tadbir urus baik, integriti dan kecekapan pengurusan.
“Manakala martabat memperkukuh imej serta kedudukan ATM di persada nasional dan antarabangsa,” katanya dalam sidang media selepas perbarisan Perintah Ulung di sini.
Bagi menyokong tiga teras tersebut, beliau turut menggariskan tujuh tonggak utama meliputi pembinaan warga berakhlak tinggi, pengukuhan tadbir urus, pembangunan angkatan masa hadapan, kesiapsiagaan dan keutuhan organisasi, kebajikan anggota serta veteran, hubungan ATM bersama masyarakat dan diplomasi pertahanan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kesiapsiagaan angkatan perlu diperkukuh melalui struktur organisasi yang mantap, sistem logistik yang cekap serta perancangan strategik yang jelas bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
Dalam aspek kebajikan, ATM komited menjaga kesejahteraan anggota yang masih berkhidmat termasuk keluarga mereka, selain terus menghargai jasa warga veteran.