
KUALA LUMPUR, 21 Februari – Pengukuhan infrastruktur digital, pemerkasaan industri kreatif serta pengukuhan sistem penyampaian maklumat kerajaan, menjadi tiga teras utama yang digariskan Kementerian Komunikasi bagi tahun ini.
- Perkukuh infrastruktur digital untuk capaian internet laju, mampu milik dan selamat terutamanya bagi kanak-kanak dan remaja.
- Perkasakan keselamatan dalam talian bagi melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya, penipuan siber dan eksploitasi AI.
- Memperkasa industri kreatif termasuk muzik, filem dan animasi bagi menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan kebajikan penggiat seni.
- Perkukuh komunikasi kerajaan untuk penyampaian maklumat jelas dan telus supaya bantuan sampai kepada kumpulan sasar tanpa ketirisan.
Menurut Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, keutamaan pertama adalah memastikan rakyat menikmati capaian internet yang bukan sahaja pantas dan mampu milik, malah selamat terutama untuk kanak-kanak dan remaja.
Jelas beliau, aspek keselamatan digital kini menjadi komponen penting dalam pembangunan infrastruktur negara susulan lambakan kandungan dalam talian yang sukar ditapis, termasuk risiko penipuan dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Dalam media sosial seperti TikTok ada banyak perkara yang baik, tetapi terdapat juga kandungan memudaratkan. Kita tidak pasti sama ada apa yang ditonton itu sahih, dijana AI atau berunsur penipuan.
“Sebab itu kita mahukan internet yang laju, murah dan paling penting, selamat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyatuan Seni dan Budaya, di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata keselamatan dalam talian perlu diperkasa bagi melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya, penipuan siber dan eksploitasi digital.
Sementara itu, teras kedua memberi tumpuan kepada pemerkasaan industri kreatif yang kini menyumbang antara 6.8 hingga tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sektor itu merangkumi industri muzik, perfileman, animasi, penerbitan buku dan pelbagai cabang seni lain.
Dalam konteks tersebut, kementerian sedang meneliti keperluan menambah baik kerangka perundangan termasuk cadangan akta khusus bagi menjaga kebajikan serta masa depan penggiat seni dan industri muzik tanah air.
Teras ketiga pula melibatkan pengukuhan komunikasi dan penyampaian maklumat kerajaan supaya setiap inisiatif serta bantuan yang diperkenalkan dapat difahami dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
Jelas beliau, komunikasi yang jelas dan telus penting bagi memastikan segala bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan sasar tanpa ketirisan.
Datuk Fahmi menegaskan ketiga-tiga teras itu saling melengkapi dalam usaha membina ekosistem komunikasi negara yang lebih selamat, mampan dan berdaya saing di peringkat serantau.