PASIR MAS, 25 Disember- Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk dengan pertambahan jumlah penduduk yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak petang tadi.
Menurut InfoBencanaJKM, sebanyak 11, 959 penduduk melibatkan 3,674 keluarga kini berada di 79 PPS, setakat pukul 11.00 malam tadi.
Public Infobanjir melaporkan tiga sungai utama di Kelantan telah melepasi paras bahaya.
Ini termasuk Sungai Kelantan di Kuala Krai mencatatkan bacaan 26.6 meter, Sungai Golok di Rantau Panjang 11.01 meter dan Sungai Nal di Kuala Krai 26.8 meter.
Dalam pada itu, jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang meningkat kepada 642 orang setakat pukul 11.00 malam tadi berbanding 554 orang pada pukul 7.00 malam.
Melalui InfobencanaJKM, kesemua mereka ditempatkan di 14 buah PPS.
Daripada jumlah itu, 11 PPS telah dibuka bagi daerah Raub dan tiga PPS di daerah Lipis.
Sementara itu, menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tiga sungai di Pahang kini melepasi paras bahaya membabitkan daerah Lipis, Maran dan Rompin.
Sungai Jelai di Bukit Betong, Lipis mencatatkan bacaan 72.16 meter melepasi paras bahaya iaitu 72 meter dengan trend menurun.
Manakala Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran merekodkan bacaan 28.30 meter melepasi paras bahaya iaitu 27 meter dengan trend menaik.
Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin mencatatkan bacaan 11.14 meter melepasi paras bahaya iaitu 11 meter dengan trend menaik.
Dalam pada itu, di Terengganu, sebanyak 95 PPS dibuka di negeri itu setakat pukul 11.28 malam tadi.
Menerusi InfobencanaJKM, ia membabitkan 5,528 penduduk terjejas daripada 1,500 keluarga.