fb fb fb fb fb

Tiga sekolah di Johor ditutup esok

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor Norlizah Noh / BERNAMA

JOHOR BAHRU, 7 Januari- Tiga sekolah di daerah ini ditutup bermula esok akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor Norlizah Noh dalam kenyataannya berkata ia melibatkan sekolah yang terjejas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya, ⁠SK Bukit Mutiara dan SK Sungai Tiram.

Namun menurutnya setakat ini tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tersangkut akibat banjir di negeri itu.

"Mengikut kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek pada 2 Januari lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut membenarkan murid terkesan banjir memakai baju biasa ke sekolah," katanya.

Norlizah berkata seramai 48,276 pelajar di negeri itu dijangka menduduki peperiksaan SPM dengan ujian lisan bermula hari ini diikuti ujian bertulis hingga 7 Mac.

Ia melibatkan 364 jumlah pusat peperiksaan dengan 4,205 petugas, 900 sukarelawan dan 112 penyelia kawasan.

Selain itu, seramai 8,831 pelajar pula akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang pada 22 Januari hingga 6 Februari, membabitkan 75 jumlah pusat peperiksaan dengan 572 petugas peperiksaan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI