fb fb fb fb fb

Tiga sekeluarga rentung dalam kebakaran di Sibu

SIBU, 2 Mac– Tiga sekeluarga rentung dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah di Kampung Bahagia Jaya, Jalan Burung Beliris malam tadi.

Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu, Janggan Muling, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 malam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kebakaran melibatkan dua buah rumah kediaman setingkat melibatkan tiga orang mangsa.

“Sepasukan 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) Scania dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) diketuai Pegawai Bomba Kanan Yusuf Tar dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu.

“Kebakaran melibatkan dua buah jenis rumah struktur tidak kekal.

“Pasukan bomba menemui mayat ketiga-tiga mangsa yang rentung dalam rumah itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat tiga mangsa yang rentung ditemui dalam rumah tersebut ialah Rashidah Suut, 81, Taip Bus, 55, dan Sima Abdullah, 18, telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Berdasarkan maklumat awal, mendapati terdapat mangsa yang terperangkap dan ketika proses menyelamat dilakukan, pasukan telah menemui tiga mayat yang rentung.

Punca sebenar insiden masih disiasat.



(Gambar dari udara menunjukkan dua rumah terbakar di Kampung Bahagia Jaya, Sibu/ Facebook : Info Sibu)

Media Baharu